Siasatan kes suami Zeti: PDRM sudah kenalpasti dokumen, keterangan diperlukan

Siasatan kes suami Zeti: PDRM sudah kenalpasti dokumen, keterangan diperlukan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenalpasti dokumen dan keterangan yang diperlukan untuk siasatan terhadap suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Dr Tawfiq Ayman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata dokumen dan keterangan itu dikenalpasti hasil daripada perbincangan pihaknya dengan Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura pada 29 hingga 31 Mac lalu.

“CAD Singapura telah memberikan kerjasama erat sepanjang perbincangan diadakan.

“Hasil perbincangan, pasukan penyiasat telah mengenalpasti dokumen dan keterangan yang diperlukan untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun bagi memastikan dokumen dan keterangan tersebut boleh diterima mahkamah ia perlu melalui proses Mutual Legal Assistance (MLA) yang akan dikendalikan Jabatan Peguam Negara.

“Justeru, PDRM telahpun merujuk siasatan kes ini kepada JabatanPeguan Negara untuk tindakan selanjutnya dari sudut MLA,” katanya.

Sebelum ini, PDRM memaklumkan beberapa saksi di Singapura bersetuju untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan terhadap Tawfiq Ayman yang juga suami kepada Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Mohd Kamarudin berkata, ia susulan dakwaan Dr Tawfiq menerima dana berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

“Siasatan di negara terbabit bagi mendapatkan keterangan dan dokumen diperlukan. Insya-Allah hasil keterangan dan dokumen itu, kita boleh teruskan dan rujuk semula kertas siasatan ke Timbalan Pendakwa Raya,” katanya. – Malaysiapost

Komen