Syed Saddiq, PM bincang isu industri hem, ganja untuk perubatan

Syed Saddiq, PM bincang isu industri hem, ganja untuk perubatan

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini mengetuai pasukan Kaukus Ganja Perubatan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya.

Menurut Syed Saddiq yang mempengerusikan Kaukus itu, pertemuan tersebut membincangkan isu-isu dasar berkaitan industri hem, ganja untuk tujuan perubatan, selain ketum untuk kegunaan di Malaysia.

“Industri ini adalah satu industri yang sedang giat dibangunkan oleh banyak negara-negara luar.

“Lebih 40 negara sudah membenarkan penggunaan kanabis untuk perubatan. Nilai pasaran industri ini cecah RM60 bilion.

“Malah, negara jiran seperti Thailand juga sedang mengkaji industri ini untuk negara mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Presiden MUDA itu menambah, Kaukus Ganja Perubatan percaya Malaysia mempunyai ruang dan peluang besar dalam industri itu untuk tujuan perubatan, penyelidikan dan memberi manfaat besar kepada negara.

Selain itu, katanya, Kaukus membangkitkan isu berkaitan rakyat Malaysia yang didakwa di mahkamah dan disabitkan bersalah kerana penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.

Tambahnya, pandangan perundangan juga menjadi perhatian utama dalam pertemuan tersebut.

“Perdana Menteri telah memberi respons positif dan isu-isu berkaitan industri ini akan dibincang dan diperhalusi dengan lebih teliti dalam Mesyuarat Kabinet.

“Kaukus Perubatan Ganja adalah jalinan kerjasama dwi-partisan antara Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang. Keanggotaan kaukus yang merentas banyak parti ini percaya banyak langkah boleh diambil kerajaan berkaitan isu ini.

“Kaukus mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian Perdana Menteri atas sesi pertemuan rasmi sebentar tadi. Kerjasama erat dalam isu ini pasti akan memberi manfaat besar kepada rakyat dan negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen