Tiada urusan transaksi TH menerusi telefon

Tiada urusan transaksi TH menerusi telefon

PENDEPOSIT Tabung Haji (TH) diminta berwaspada jika menerima panggilan telefon yang berkaitan urusan transaksi kewangan akaun mereka.

Pemangku Pengarah Eksekutif, Operasi TH, Mohamad Ameen Abdul Wahab berkata, TH menasihati semua pendeposit agar tidak mudah percaya dengan pihak yang tidak dikenali sekiranya menerima panggilan telefon berhubung dengan transaksi pemindahan wang bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

“TH mengambil maklum akan kenyataan Polis Diraja Malaysia berkaitan taktik baharu sindiket ‘Macau Scam’ yang melibatkan pengeluaran wang daripada akaun pendeposit TH yang dihubungkan dengan akaun bank-bank konvensional.

“TH ingin menegaskan bahawa TH tidak pernah menghubungi mana-mana pendeposit bagi sebarang tujuan transaksi pemindahan wang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Ameen menegaskan, pengeluaran tunai hanya boleh dilakukan di kaunter TH melalui pengesahan identiti; pengeluaran melalui perbankan internet pula dikawal dengan kata laluan dan TAC; manakala pengeluaran melalaui ATM bank-bank rakan strategik TH dikawal dengan PIN.

“Selain itu, pengeluaran tunai daripada akaun TH juga tidak boleh dilakukan melalui platform THiJARI. Peraturan pengeluaran atau pindahan wang juga tidak boleh dilaksanakan melalui panggilan telefon.

“Arahan pindahan telegrafik di kaunter pula hanya boleh dibuat dari akaun TH ke akaun milik sendiri sahaja. Oleh itu, wang di dalam TH sememangnya selamat,” jelasnya.

Justeru, sebagai langkah keselamatan, TH menyarankan pendeposit untuk sentiasa memastikan nama dan kata laluan akses kepada platform perbankan internet rakan strategik TH tidak dikongsikan dengan mana-mana pihak.

“Pendeposit juga boleh menghadkan jumlah pindahan harian melalui perbankan internet bank-bank rakan strategik TH serta membuat semakan penyata akaun secara berkala melalui aplikasi THiJARI.

“TH menasihati orang ramai untuk tidak mendedahkan sebarang maklumat akaun mahupun maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dikenali supaya tidak terpedaya dengan perangkap pihak tidak bertanggungjawab,” katanya. – Malaysiapost

Komen