2 anggota Maritim Malaysia cedera bergelut dengan nelayan Vietnam

2 anggota Maritim Malaysia cedera bergelut dengan nelayan Vietnam

DUA anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan cedera bergelut dengan nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara berhampiran muara Tok Bali, Pasir Puteh, kelmarin.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman, berkata dalam kejadian jam 5 petang itu pihaknya telah menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam berserta 20 orang kru termasuk tekong.

Menurutnya, semasa rondaan Op Khas Naga Barat, Op Khas Kuda Laut dan Op Damai di perairan Kelantan, bot ronda Maritim mengesan sebuah bot nelayan mencurigakan pada jarak tiga batu nautika dan terus mengejar untuk menahan.

“Bot mencurigakan itu bertindak melarikan diri daripada ditahan. Setelah dikejar rapat dan diarahkan berhenti bot tersebut terus berdegil, anggota penguatkuasa terpaksa menggunakan ‘force boarding’ bagi memastikan bot berjaya dihentikan.

“Salah seorang anggota geledah menerpa rumah kemudi untuk mengambil alih kawalan ke atas bot nelayan berkenaan, namun tekong mengacukan pisau dan cuba menikam beliau.

“Berlaku pergelutan yang menyebabkan kecederaan di bahagian tapak tangan kiri dan ibu jari kanan anggota berusia 32 tahun, manakala seorang lagi anggota geledah cedera pada ibu jari kanan disebabkan bergelut dengan kru bot yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, walaupun mengalami kecederaan, anggota geledah berjaya mempertahankan diri dan tindakan agresif kru bot berjaya ditangani.

“Anggota penguatkuasa Maritim Malaysia mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk menghentikan dan menahan bot nelayan asing itu pada jarak 46 batu nautika daripada muara Tok Bali.

“Pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan 20 kru termasuk tekong warga Vietnam, berusia dalam lingkungan 20 hingga 48 tahun dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan juga mendapati, bot tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985 dan bot serta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan ikan lebih kurang 500 kilogram dirampas.

“Turut dirampas bekalan diesel lebih kurang 500 liter dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM1.5 juta dan seterusnya bot berkenan diiring masuk ke Jeti Maritim Kelantan untuk siasatan.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16 (3) akta sama,” katanya.

Menurutnya, kesemua 20 tahanan kru warga Vietnam itu telah ditempatkan di dalam bilik tahanan sementara untuk menjalani kuarantin setelah menjalani ujian pantas antigen (RTK). – Malaysiapost

Komen