DAP kuat hasil titik peluh Kit Siang – Loke

DAP kuat hasil titik peluh Kit Siang – Loke

KEKUATAN DAP hari ini adalah hasil titik Lim Kit Siang yang membina asas yang kuat untuk parti sejak tahun 1966, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Sambil menyatakan rasa bangga mewarisi kepimpinan parti yang kukuh dan bersatu padu, Loke berkata sejak 50 tahun lalu Kit Siang tentunya berdepan kesukaran untuk mengembangkan parti di seluruh negara.

“Bayangkan, 50 tahun yang lalu iaitu semasa era tahun 1970an di mana kebanyakan pemimpin utama generasi ketiga parti termasuk saya sendiri belum lagi dilahirkan.

“Keadaan pada ketika itu tentulah amat mencabar untuk kerja-kerja pengembangan parti di seluruh negara.

“Kit Siang menjelajah ke seluruh pelusuk negara untuk membina kekuatan parti dalam keadaan yang begitu sukar.

“Bukan sahaja keadaan kerja fizikal yang mencabar, tetapi persekitaran politik yang begitu menekan pada zaman tersebut,” katanya pada majlis penghargaan kepada Kit Siang di ibu negara malam tadi.

Majlis itu dianjurkan sebagai menghargai Kit Siang yang telah bersara dari politik.

Berucap lanjut, Loke berkata Kit Siang dan pemimpin parti ketika itu perlu sentiasa berdepan kemungkinan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Sekiranya kita merasakan apa yang kita hadapi sekarang adalah sukar, bayangkan apa yang pernah dilalui Kit Siang dalam tempoh lebih 50 tahun yang lalu.

“Beliau tidak pernah berputus asa mahupun mengalah,” katanya lagi.

Tambah Loke, keperibadian Kit Siang juga secara tidak langsung telah membentuk nilai dan budaya dalam parti DAP.

Beliau juga mengingatkan ahli dan pemimpin DAP bahawa ia adalah sebuah parti untuk rakyat biasa dan pemimpin DAP perlu sentiasa hidup secara bersederhana seperti Kit Siang dan melayan setiap manusia lain dengan hormat walau apa latarbelakang.

“Semua pemimpin muda dalam DAP harus belajar dari Kit Siang bukan sahaja dari segi ilmu politiknya tetapi lebih penting lagi, belajar dari beliau cara hidup sebagai seorang manusia yang berwibawa.

“Saya rasa cara paling baik untuk menghargai sumbangan beliau ialah meneruskan perjuangan beliau untuk membentuk sebuah masyarakat Malaysia idaman di mana setiap rakyat akan hidup dengan bangga dan hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya. – Malaysiapost

Komen