Debat mesti secara terbuka – Anwar

Debat mesti secara terbuka – Anwar

KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan debatnya dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung kemelut Sapura Energy Bhd, harus diadakan secara terbuka untuk tontonan umum.

Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, penglibatan media juga harus terbuka dan tidak terhad kepada hanya satu portal berita sahaja. 

Menurutnya, agensi akhbar atau berita arus perdana harus ambil bahagian dalam usaha untuk mencambah budaya wacana yang sihat dan terbuka.

“Datuk Seri Najib mencabar saya untuk berdebat dengan dia dalam satu kenyataan awal Ramadan. Saya jawab ini bulan Ramadan tetapi kerana sudah ada cabaran saya jawab saya bersedia mana-mana ketika tanpa syarat.

“Asalkan ia harus terbuka di medan dan diizinkan rakyat menonton. Sekarang dia (Najib) mengulas mengatakan tidak wajar di bulan Ramadan, harus mencecah ke awal bulan Syawal.

“Dia menetapkan hanya satu portal kecil,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook rasminya malam ini.

Anwar berkata, beliau menjawab ia harus diadakan secara terbuka oleh mana-mana media besar sama ada Sinar Harian, TV3, Radio Televisyen Malaysia (RTM) atau mana-mana media sahaja.

“Tetapi jangan menyekat kebebasan media supaya rakyat boleh menilai.

“Jadi saya harap Datuk Seri Najib jangan berdolak dalik lagi, dia cabar dan saya jawab. Insya-Allah kita akan bertemu,” katanya. – Malaysiapost 

Komen