Isu bankrap: Orang tahu siapa gerangan ‘S’ ini – Mawar Karim

Isu bankrap: Orang tahu siapa gerangan ‘S’ ini – Mawar Karim

USAHAWAN tudung terkenal Mawar Karim tampil mempertahankan dirinya yang didakwa menjadi mangsa fitnah selepas kononnya telah diisytiharkan bankrap selepas melarikan diri daripada membayar hutang.

Mawar, 33, yang menggelar individu sebagai ‘S’ dikatakan telah beberapa kali menabur fitnah terhadapnya bermula dengan isu sekatan jalan raya, lari daripada membayar hutang dan terkini, isu bankrap.

“Wahai ‘S’, tidak habis-habis lagi reka cerita fitnah fasal (pasal) saya. Tahun lalu pasal SJR (sekatan jalan raya), cukup setahun pasal lari hutang. Tiba-tiba bankrap pula,” tulisnya di entri InstaStory.

Bekas isteri kepada pelakon Fizo Omar itu juga berkata, individu bergelar ‘S’ tersebut memang sengaja mahu memalukan dirinya dengan membuat fitnah.

Mawar juga memberi amaran kepada individu ‘S’ agar berhati-hati jangan sampai fitnah yang ditabur berbalik kepada diri sendiri.

“Nak bagi saya malu satu Malaysia. Jangan satu hari nanti terbalik pula ceritanya. Orang tahu siapa gerangan ‘S’ ini,” ujarnya lagi.

Terdahulu, media melaporkan Mawar bakal berdepan tindakan pengisytiharan muflis sekiranya gagal melunaskan hutang yang dipinjam olehnya daripada seorang sahabat.

Dia dikatakan membuat pinjaman daripada seorang kenalannya, sebanyak RM 720,000 sebagai modal memulakan perniagaannya. – Malaysiapost

Komen