Langgar mati 8 remaja berbasikal lajak: Kerani dipenjara 6 tahun, denda RM6,000

Langgar mati 8 remaja berbasikal lajak: Kerani dipenjara 6 tahun, denda RM6,000

MAHKAMAH Tinggi Johor Bahru hari ini memerintahkan seorang kerani wanita dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000, atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.

Keputusan itu sekali gus mengenepikan penghakiman Mahkamah Majistret pada 10 Oktober lalu yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan responden daripada pertuduhan tersebut, lapor Berita Harian.

Responden, Sam Ke Ting, 27, turut diperintah menjalani hukuman selama enam bulan penjara lagi jika tidak membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai hukuman penjara.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar berkata pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan dengan Mahkamah Tinggi turut memerintahkan tertuduh untuk membela diri.

Beliau berkata, mahkamah bicara didapati terkhilaf dalam menimbangkan semula isu dibangkitkan pada akhir kes pendakwaan berkaitan identiti pemandu kereta, kebolehterimaan eksibit dan tiada pengecaman atas mangsa.

Pada 10 Oktober 2021, Mahkamah Majistret mengekalkan keputusan Ke Ting dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

Keputusan itu diputuskan Majistret Siti Hajar Ali yang membacakan keputusan kes di akhir pembelaan selepas tertuduh diarahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi, Februari lalu.

Ke Ting sebelum itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret tanpa dipanggil membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan, 28 Oktober 2019. – Malaysiapost

Kredit foto : Berita Harian

Komen