Mahkamah benar Azmin batalkan saman pengundi Gombak

Mahkamah benar Azmin batalkan saman pengundi Gombak

MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan rayuan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membatalkan saman dikemukakan 10 pengundi berdaftar kawasan Parlimen Gombak terhadapnya.

Ia atas dakwaan menipu dan melanggar kewajiban fidusiari sebagai Ahli Parlimen kawasan itu, lapor Bernama.

Panel tiga hakim iaitu Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Hashim Hamzah memutuskan tuntutan pengundi itu tidak kukuh dan tiada keperluan bagi saman diteruskan untuk perbicaraan penuh.

Yaacob yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu, membenarkan rayuan Mohamed Azmin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Jun tahun lalu yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman itu.

“Kami berpandangan terdapat kesilapan oleh hakim Mahkamah Tinggi semasa tidak membenarkan permohonan perayu (Mohamed Azmin) untuk membatalkan saman yang memerlukan campur tangan rayuan,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun tidak memberikan award kos atas alasan kes itu adalah kes kepentingan awam.

Pada 27 November 2020, 10 pengundi itu memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari 2020.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, pengundi tersebut antara lain memohon pengisytiharan bahawa Mohamed Azmin selaku Ahli Parlimen Gombak, telah melanggar kewajiban fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.

Mereka menuntut ganti rugi teruk dan teladan, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 12 Mac tahun lepas, Mohamed Azmin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan saman tersebut tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah sebaliknya mengaibkan, bersifat remeh, menyusahkan atau membawa kepada suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Beliau mendakwa saman itu melanggar hak asasinya untuk kebebasan berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Fasal (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam prosiding hari ini yang dijalankan secara maya, mahkamah mendengar hujahan peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili Mohamed Azmin dan peguam K. Shanmuga yang mewakili pengundi.

Muhammad Nizamuddin berhujah bahawa saman itu perlu dibatalkan kerana dakwaan pengundi pasti gagal kerana mereka tidak akan dapat membuktikan bahawa mereka telah mengundi Mohamed Azmin semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata Mohamed Azmin tidak membuat sebarang perwakilan secara peribadi kepada pengundinya semasa PRU14 sebaliknya manifesto yang digunakan telah disediakan Pakatan Harapan pada Mac 2018 untuk tujuan berkempen semasa pilihan raya umum itu.

Muhammad Nizamuddin juga berkata tuntutan pengundi itu mempunyai kesan menyekat hak anak guamnya untuk kebebasan berpersatuan di bawah Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Shanmuga dalam hujahan balas berkata saman itu perlu diteruskan untuk perbicaraan kerana pengundi boleh membuktikan mereka mengundi Mohamed Azmin pada PRU14 dengan memberikan keterangan secara lisan di mahkamah.

Beliau berkata dakwaan pengundi bukan berdasarkan manifesto tetapi berdasarkan representasi yang dibuat Mohamed Azmin kepada mereka (pengundi).

Shanmuga berkata tuntutan pengundi tidak menjejaskan hak kebebasan berpersatuan Mohamed Azmin kerana tuntutan itu bukan untuk menjatuhkan beliau daripada menjadi Ahli Parlimen.

Turut mewakili Mohamed Azmin ialah peguam Nurul Najwa Zanuddin manakala peguam Yohendra Nadarajan, Surendra Ananth dan Kee Hui Yee turut mewakili pengundi. – Malaysiapost

Komen