Pelakon ‘English’ kini sakit, runsing cari rumah sewa baharu

Pelakon ‘English’ kini sakit, runsing cari rumah sewa baharu

JOHAN Abdullah, pelakon yang biasa memegang watak lelaki Inggeris dalam filem dan drama tempatan, runsing memikirkan tempat tinggal baharu apabila kini tidak mampu bekerja kerana menderita penyakit parkinson dan angin ahmar.

Ini kerana rumah sewa didiami pelakon berusia 73 tahun itu bersama keluarga sejak tahun 2008 di Taman Mantau Indah, Seremban, akan dijual.

Isterinya, Sarepah Meriam Aboo, 49, berkata mereka diberi tempoh tiga bulan oleh tuan rumah untuk mencari rumah baharu.

“Manalah kami nak tinggal selepas ini. Ada terfikir buat sementara waktu ini nak buat rumah kongsi di tanah lot milik saya di Kampung Gadong.

“Susah juga dengan keadaan suami dan saya yang tak sihat. Saya pun dah minta dengan tuan rumah bagi tempoh masa hingga hujung tahun, tengoklah macam mana nanti,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Menurutnya, mereka hilang sumber pendapatan sejak suaminya sakit pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua tahun lalu.

Jelas Sarepah, sebelum ini mereka meneruskan hidup dengan duit upah menulis dokumen kerajaan dan upah berlakon diterima suami selain dibantu anak-anak.

“Tapi bila suami sakit memang terputus langsung sumber pendapatan dan bila memikirkannya buat saya jadi sedih.

“Lagipun kami ada dua anak masih bersekolah yang perlu ditanggung berusia 11 dan enam tahun,” katanya.

Oleh sebab itu, menjadi hasrat Johan untuk berlakon semula supaya dapat menampung hidupnya sekeluarga.

Katanya, dia rindu untuk berlakon semula tetapi dengan keadaan pergerakannya yang semakin terhad sekarang, mana mungkin dia diterima berlakon.

“Apabila mengenang keadaan Johan membuatkan saya sayu lebih-lebih lagi dengan keadaan dirinya juga yang tidak lagi sekuat dulu sejak diuji penyakit tiroid dan ‘slipped disc’.

“Selagi Allah bagi saya kudrat untuk jaga suami, saya akan terus pikul tanggungjawab ini. Biarlah kami susah bersama.

“Cuma yang saya risau kalau keadaan kesihatan saya. Kalau saya kuat tidak mengapa, tapi sekarang saya pun tak sihat,” kata Sarepah yang pernah menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). – Malaysiapost

Kredit foto: Sinar Harian

Komen