Penjawat awam Pahang terima Bantuan Khas Aidilfitri RM1,200

Penjawat awam Pahang terima Bantuan Khas Aidilfitri RM1,200

PENJAWAT awam Pahang bakal menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 berjumlah RM1,200 yang akan dibayar bermula 20 April ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata peruntukan keseluruhan untuk inisiatif tersebut berjumlah RM9.6 juta yang bakal dinikmati 8,000 penjawat awam negeri itu melibatkan semua gred perjawatan.

“Bantuan Khas Kewangan ini akan mula dibayar pada 20 April 2022 iaitu sebelum sambutan Hari Raya Aidil Fitri tahun ini.

“Pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidil Fitri kali ini meningkat sebanyak RM200 berbanding RM1,000 yang disumbangkan tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Rosdy berkata, Bantuan Khas Kewangan itu dapat dilaksanakan kerana Kerajaan Negeri mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan sebagai menghargai sumbangan serta khidmat bakti penjawat awam di negeri itu.

“Saya amat berharap Bantuan Khas Kewangan ini dapat meringankan beban para penjawat awam negeri Pahang dalam membuat persediaan menyambut Aidil Fitri nanti. Namun, berbelanja lah secara berhemah dan berjimat-cermat.

“Saya juga mengharapkan pemberian insentif ini dapat menyuntik semangat dan motivasi penjawat awam negeri Pahang untuk meningkatkan prestasi kerja serta berkhidmat dengan cemerlang demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri,” katanya. – Malaysiapost

Komen