Penjenayah solo didakwa 8 pertuduhan termasuk bunuh pengawal keselamatan, polis

Penjenayah solo didakwa 8 pertuduhan termasuk bunuh pengawal keselamatan, polis

PENJENAYAH yang terbabit dalam kes tembak mati pengawal van keselamatan pada 11 Mac lalu telah dihadapkan ke mahkamah dengan lapan pertuduhan termasuk dua dakwaan bunuh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata penjenayah solo yang giat melalukan samun bank bersenjata api itu dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, tertuduh didakwa dengan tuduhan menembak mati pengawal van keselamatan semasa kejadian samun yang berlaku di hadapan Hong Leong Bank, Puchong Prima, Subang Jaya pada 11 Mac lalu.

“Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

“Selain itu, tertuduh juga berdepan pertuduhan cubaan membunuh rakan sekerja mangsa yang ditembak di bahagian perut mengikut Seksyen 307 KK yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

“Tertuduh juga dituduh memiliki senjata api iaitu pistol semi automatik jenama Walther P99 mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman penjara 14 tahun maksimum dan minimum enam sebatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan serta dalam tiga lagi penglibatan samun bank bersenjata api yang berlaku di sekitar Subang Jaya dan Shah Alam, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta yang sama.

“Dengan tertangkapnya tertuduh ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berjaya merungkai kes pembunuhan melibatkan seorang anggota polis lima tahun lalu yang ditembak mati semasa sedang bertugas di Balai Polis Pinggiran USJ, Subang Jaya.

“Bagi kesalahan ini, tertuduh sekali lagi didakwa mengikut Seksyen 302 KK. Kehilangan pistol anggota polis terbabit juga terjawab dengan rampasan sepucuk pistol semi automatik jenama Walther P99 daripada tertuduh dimana siasatan mendedahkan pistol sama digunakan dalam kes rompakan bank membabitkan tertuduh,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang 11 Mac lalu, seorang pengawal keselamatan maut, manakala rakan sekerjanya parah akibat ditembak dalam kejadian rompakan berhampiran sebuah bank di Puchong Prima.

Suspek berusia 38 tahun bagaimanapun berjaya ditahan beberapa jam kemudian ketika sedang cuba memasukkan wang yang dicuri ke dalam mesit deposit tunai di sebuah bank di Seksyen 24 Shah Alam. – Malaysiapost

Komen