Perayaan Songkran masyarakat Siam erat hubungan berbilang bangsa – PM

Perayaan Songkran masyarakat Siam erat hubungan berbilang bangsa – PM

PEMBERIAN cuti tanpa rekod kepada penjawat awam berketurunan Siam sempena Perayaan Songkran tahun ini merupakan satu keistimewaan kepada kumpulan yang sama-sama berusaha membangunkan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menyifatkan pemberian cuti tanpa rekod itu sebagai pengiktirafan kepada masyarakat Siam yang menjadi sebahagian rakyat pribumi negara ini.

“Saya berharap seluruh masyarakat Siam dapat menggunakan perayaan ini bagi mengerat lagi hubungan kekeluargaan dan silaturahim dengan sahabat handai serta jiran tetangga yang berbilang bangsa. Itulah asas kepada kesejahteraan yang menjadi tunjang kepada konsep Keluarga Malaysia.

“Semoga masyarakat Siam khasnya dan seluruh Keluarga Malaysia amnya terus berada dalam keadaan sihat sejahtera sepanjang masa,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ismail Sabri berkata, perayaan Songkran tahun ini disambut dalam suasana berhati-hati dengan ancaman Covid-19 yang telah menjejaskan kehidupan harian dan kegiatan ekonomi seluruh rakyat Malaysia serta penduduk dunia.

“Sama-samalah kita mendoakan agar keadaan kembali pulih seperti sediakala agar kita boleh menyambut perayaan ini dan perayaan rakyat Malaysia yang lain dengan lebih meriah lagi,” katanya.

Perayaan Songkran yang terkenal sebagai festival air adalah sambutan Tahun Baru Thailand yang disambut selama tiga hari bermula 13 April setiap tahun. – Malaysiapost

Komen