PPM banteras ketirisan diesel bersubsidi

PPM banteras ketirisan diesel bersubsidi

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Johor berjaya menahan dua pemandu lori disyaki masing-masing membawa muatan kira-kira 2,000 liter dan 3,167 liter diesel tanpa permit sah di dua stesen minyak berasingan di sekitar Skudai, hari ini.

Lelaki berusia 28 tahun dan 56 tahun itu ditahan ketika sedang mengisi diesel ke dalam tangki minyak khas kira-kira jam 2.30 pagi hingga 2.45 pagi.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah, berkata bertindak atas maklumat berkenaan penyelewengan diesel, pihaknya telah membuat pemantauan di kawasan stesen minyak di sekitar Skudai, Johor.

“Sewaktu serbuan dijalankan kedua-dua lelaki tersebut sedang mengisi diesel ke dalam tangki yang telah diubah suai di belakang lori tersebut.

“Pemeriksaan mendapati suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran yang sah untuk membawa barang kawalan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tahanan dan rampasan kemudian dibawa ke Markas (PPM) Wilayah Dua, Johor untuk tindakan lanjut.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM176,539 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa terutamanya PPM Wilayah Dua di talian 07-2372221 atau 07-2372222,” katanya. – Malaysiapost

Komen