Saifuddin jawab Rafizi, tiada satu pun keputusan dibuat individu

Saifuddin jawab Rafizi, tiada satu pun keputusan dibuat individu

CALON Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan tiada satu pun keputusan besar dalam parti itu dibuat secara individu.

Sebaliknya kata Setiausaha Agung PKR itu, segala keputusan dibuat secara musyawarah, kolektif dan melalui konsensus.

“Keputusan parti datang dengan tanggungjawab dan pertanggungjawaban,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau dipercayai menjawab kenyataan pencabarnya bagi jawatan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli yang menggesa calon dalam pemilihan PKR nanti, khususnya Saifuddin untuk menjelaskan pendirian berkenaan hala tuju parti dan strategi serta gerak kerja bagi berdepan Pilihan Raya Umum.

Rafizi berkata dua perkara itu perlu dijadikan kayu ukur untuk anggota parti membuat pilihan nanti.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata bagi menentukan sesuatu keputusan besar dalam PKR, penyatuan suara dirangkul melalui musyawarah dan diputuskan secara bersama apabila setiap pimpinan memainkan peranan masing-masing dalam semangat kerja berpasukan.

“Sebagai pemimpin, perlu ada sikap untuk bertanggungjawab terhadap keputusan yang dicapai dan saling mendukung kepada kepertanggungjawaban keputusan tersebut,” katanya. – Malaysiapost

Komen