Sam Ke Ting dinafi ikat jamin pun salah Najib? 

Sam Ke Ting dinafi ikat jamin pun salah Najib? 

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa terdapat pihak yang mengaitkan kes dihadapi kerani Sam Ke Ting yang dikenakan hukuman enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru dengan dirinya sebagai modal politik.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa, dirinya dikaitkan dengan keadaan wanita terbabit yang tidak diberikan ikat jamin.

“Adoi! Sam Ke Ting dinafi ikat jamin pun salah Najib? Geng DAP-PH (Pakatan Harapan) dah mula buat kerja untuk kaitkan kes Sam dengan saya.

“Mereka kata kenapa saya diberi ikat jamin tetapi Sam dinafikan pula. Niat geng sebelah sana adalah amat jelas. Nak jadikan kes ini sebagai modal politik perkauman Cina lawan Melayu serta kaitkan dengan saya supaya Rakyat membenci saya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, perkara itu adalah salah dan kes berkenaan tidak patut dilihat dari segi perkauman kerana ia adalah satu tragedi yang melibatkan seorang gadis muda serta kematian lapan anak muda.

“Janganlah jadikan tragedi ini sebagai modal politik perkauman dan kebencian. ‘Grow up, please’.
Keputusan untuk tidak memberi ikat jamin kepada Sam tiada kaitan dengan saya atau kerajaan.

“Keputusan Sam didapati bersalah juga dipertikaikan ramai setelah Sam sudah dua kali didapati tidak bersalah sebelum hari ini. Ini merupakan keputusan seorang hakim dalam mahkamah tinggi sebab mahkamah rayuan belum putuskan untuk memberi kebenaran kepada Sam untuk merayu,” katanya.

Najib turut mempersoalkan kenapa pihak yang mengaitkan kes berkenaan dengan dirinya tidak mengaitkan kes itu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut diberikan jaminan setelah didapati bersalah di peringkat Mahkamah Rayuan pada bulan Mei 2014.

“Kenapa pula nak pertikaikan saya pula sekiranya Anwar Ibrahim mendapat layanan yang sama? Kenapa tak kaitkan pula kes Sam dengan kes Anwar?

“Kenapa pula geng sebelah sana tidak salahkan Tommy (bekas Peguam Negara) yang memfailkan rayuan terhadap keputusan kali pertama untuk bebaskan Cik Sam pada tahun 2019?” soalnya.

Beliau berkata, apapun setiap individu dalam Malaysia berhak menerima pembelaan yang adil dan lengkap serta beharap Ke Ting juga akan mendapat pengadilan yang seadil-adilnya.

“Kamu boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan keputusan hakim tapi ini adalah sistem perundangan negara.

“Saya juga tidak bersetuju dengan keputusan kes SRC saya.

“Suka atau tidak, itu adalah sistem perundangan kita – sama dengan kes cik Sam,” katanya. – Malaysiapost

Komen