Satira Parlimen: ‘Fikirkan juga kesan jangka masa panjang’ – Salahuddin

Satira Parlimen: ‘Fikirkan juga kesan jangka masa panjang’ – Salahuddin

TIMBALAN Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan penghasilan karya seni berbentuk satira perlu juga melihat kepada kesan langsung dan tidak langsung pada masa depan.

Salahuddin berkata, beliau tidak menolak hak seseorang untuk menyatakan pandangan dan berkarya, namun menegaskan sesebuah karya seni wajar mengambil kira aspek berkenaan kerana ia mungkin membawa kepada isu yang lebih besar.

“Tak ada salahnya untuk berekspresi dan menyampaikan mesej kepada ahli-ahli parlimen tetapi kita juga perlu melihat kepada kesan jangka panjang.

“Bagaimana nanti kalau ada pengkarya yang bertindak lebih daripada itu? Misalnya mereka menyindir raja-raja Melayu atas nama kebebasan berpendapat dan kerana kerja seni?” katanya seperti dilapor Malaysiakini, hari ini.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, beliau memahami dan menerima hakikat bahawa seseorang itu berhak berkarya mengikut kemahuan yang dirasakan wajar atas nama seni.

Namun, katanya pihak terbabit wajar memikirkan kesan daripada tindakan tersebut.

“Kita juga tahu bahawa tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang dan di negara ini juga masih wujud Akta Hasutan,” katanya.

Semalam, media melaporkan sebuah lukisan yang menggambarkan keadaan Parlimen diisi beruk dan katak menarik perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hanya Speaker dan pegawai Parlimen digambarkan sebagai manusia dalam lukisan itu.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Selangor Royal Office, Sultan Selangor menzahirkan rasa berkenan baginda untuk membeli karya lukisan itu dan menggantungnya di bilik kerja peribadi baginda. – Malaysiapost

Komen