Siasatan terhadap Rohana masih berjalan – SPRM

Siasatan terhadap Rohana masih berjalan – SPRM

SURUHANJAYA Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes Datuk Rohana Rozhan berhubung wang berjumlah AS$10 juta yang diberikan oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc.

Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Timbalan Pesuruhjaya Mohamad Zamri Zainul Abidin, berkata proses penyiasatan masih lagi dijalankan berhubung dengan aset-aset berkenaan.

“Sehubungan itu, orang ramai diminta jangan membuat spekulasi tentang kes tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki mengesahkan SPRM sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

Terdahulu, Rohana yang dikaitkan mempunyai hubungan dengan Tim Leissner secara dasarnya bersetuju menyerahkan semula wang AS$10 juta yang diberikan oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc. itu.

Menurut laporan Utusan Malaysia yang memetik sumber, berkata SPRM kini giat mendapatkan wang tersebut selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad itu bersetuju menyerahkan aset dimilikinya daripada Leissner yang menggunakan dana 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

“Proses mendapatkan aset-aset berkenaan giat dilakukan SPRM ketika ini,” kata sumber itu semalam.

Leissner yang menjadi saksi pendakwa memberitahu mahkamah di New York dia memberi Rohana AS$10 juta yang mana bekas pegawai tertinggi Astro itu membeli sebuah rumah bernilai AS$7 juta di Montpelier Street, London.

Siasatan terhadap 1MDB yang dianggap skandal kewangan terbesar di dunia menyaksikan berbilion dolar dana agensi itu dicuri pelbagai pihak. – Malaysiapost

Komen