Amanah boleh jumpa sesiapa sahaja untuk bekerjasama – Mohamad Sabu

Amanah boleh jumpa sesiapa sahaja untuk bekerjasama – Mohamad Sabu

PARTI Amanah Negara (Amanah) menegaskan parti itu boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja bagi membincangkan kerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) termasuk parti Bersatu.

Presidennya Mohamad Sabtu, berkata bagaimanapun Bersatu ketika ini dilihat masih lagi bersama kerajaan berbanding Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dilihat ‘senada’ dengan Pakatan Harapan (PH) di dalam Parlimen.

“Bersatu masih dalam kerajaan…kita boleh bertemu dengan sesiapa saja, Pejuang dia pembangkang, dia duduk mengundi bersama PH dalam Parlimen.

“Kita boleh bertemu dengan sesiapa saja, namun sebarang ketetapan diputuskan secara bersama dalam parti,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya mengenai pandangan, Nurul Izzah Anwar bahawa PH memerlukan dua penggal bagi kembali ke Putrajaya bagi menerajui kerajaan, Mohamad berpendapat ia sekadar pandangan Ahli Parlimen Permatang Pauh berkenaan.

“Sebarang pandangan adalah bebas, dalam PH kita bebas mengeluarkan pandangan,” katanya.

Terdahulu Nurul Izzah dilaporkan berkata PH diramalkan tewas pada dua lagi pusingan pilihan raya umum sebelum menguasai Putrajaya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, bagi menafikan Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa ia memerlukan kesepaduan semua parti pembangkang dalam satu khemah besar.

Menurutnya, Amanah bersedia menjadi peneraju bagi mengembalikan kesatuan dan kebersamaan parti-parti pembangkang.

“Amanah bersedia memainkan usaha utama bagi mengembalikan kesatuan dan kebersamaan parti-parti pembangkang untuk menyertai pilihan raya ini secara bersama bagi menentang BN.

“Amanah beranggapan bahawa usaha untuk menafikan BN kembali berkuasa adalah matlamat terpenting dalam PRU-15 kerana implikasi kemenangan BN adalah terlalu buruk terhadap negara dan rakyat.

“Amanah menyeru semua parti pembangkang untuk mengambil pengajaran daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) !Melaka, Sarawak dan Johor,” katanya.

Beliau berkata, Amanah kini sedang mempersiapkan seluruh jentera parti untuk menghadapi PRU-15. – Malaysiapost

Komen