Dos penggalak kedua dibenarkan – KJ

Dos penggalak kedua dibenarkan – KJ

GOLONGAN individu berumur 60 tahun dan ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi kini boleh mendapatkan dos penggalak kedua (dos keempat), kata Menteri Kanan Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, Panel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) telah meneliti kajian saintifik serta kajian kohort di Malaysia terutama kepada kumpulan umur 60 tahun ke atas dan ada komorbid seperti penyakit paru-paru, jantung, buah pinggang, hati dan diabetis.

“Mereka ini berisiko tinggi untuk mendapat gejala serius dan kematian daripada Covid-19 dan kita juga telah melihat daripada pengalaman negara-negara lain.

“Maka dengan itu saya ingin mengumumkan bahawa individu berumur 60 tahun dan ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi boleh diberikan dos penggalak kedua dengan selang masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas tarikh dos penggalak pertama,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa pengambilan dos penggalak kedua itu hanyalah pilihan dan bukan diwajibkan kepada kumpulan berkenaan.

“Kita akan umumkan bagaimana nak buat temujanji dan sebagainya untuk mereka.

“Ini bukan seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dahulu, tetapi hanyalah pilihan untuk mereka,” katanya.

Menurutnya, bagi individu berusia 60 tahun ke atas yang tidak ada komorbiditi pula boleh mendapatkan dos penggalak kedua tetapi berdasarkan pertimbangan pengamal perubatan masing-masing.

Khairy berkata, TWG turut memberikan saranan bahawa individu ‘moderate or serve immunocompromised’ berusia 12 tahun dan ke atas juga boleh diberikan dos penggalak pertama dengan selang masa sekurang-kurangnya 28 hari selepas tarikh dos kedua.

“Ini untuk golongan remaja dan kita serah kepada individu berkenaan serta ibu bapa untuk bincang dengan doktor mereka untuk buat keputusan

“Sekali lagi tiada apa-apa paksaan dan ini (dos penggalak remaja) kita bolehkan,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini vaksin mRNA Cominarty (Pfizer-BioNTech) merupakan vaksin yang disyorkan bagi dos penggalak kedua berdasarkan data saintifik yang tersedia.

Menurutnya, individu berusia 60 tahun dan ke atas yang telah lengkap dos penggalak pertama tetapi didapati positif Covid-19, mereka layak terima dos penggalak kedua selang masa tiga bulan selepas pulih sepenuhnya.

Khairy berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah menerima permohonan bagi individu yang ingin ke luar negara untuk mendapatkan dos penggalak kedua bagi memenuhi keperluan kebluar negara.

“Sebagai contoh, terdapat negara di benua Eropah yang tidak mengiktiraf vaksin Sinovac dan Sinophram sebagai dos primer dab dos penggalak,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan syor terbaharu ini bagaimanapun tidak akan menjejaskan status vaksinasi lengkap individu berisiko tinggit yang tidak mengambil dos penggalak kedua tersebut. – Malaysiapost

Komen