‘Let’s rock’, tapi nak debat kena tunggu Syawal

‘Let’s rock’, tapi nak debat kena tunggu Syawal

PENGARAH Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mempersoalkan keengganan Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu Sapura Energy Bhd (Sapura) dalam bulan Ramadan.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Fahmi berkata dalam sejarah Islam, Nabi Muhammad SAW pernah berperang di bulan Ramadan dan Fathul Makkah juga dalam bulan ketika umat Islam berpuasa.

“Dalam sejarah Malaysia, pilihan raya kecil (Sungai Besar, Kuala Kangsar pada 2016, Permatang Pasir pada 2009) pun pernah dibuat di bulan Ramadan.

“Tapi sekarang nak debat kena tunggu Syawal. Padahal dia yang cabar debat. Let’s rock! After Raya,” sindir Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Terdahulu media melaporkan, kedua-dua tokoh politik itu bersetuju berdebat berhubung isu Sapura, namun belum mendapat tarikh yang sesuai.

Fahmi yang juga penyelaras debat bagi PKR, berkata kedua-dua pihak mempunyai pandangan berbeza mengenai tarikh bila debat itu perlu diadakan.

“Anwar sudah sedia lakukannya sebelum ini lagi, tapi pasukan Najib nak ia diadakan beberapa hari selepas Hari Raya. Saya rasa orang ramai nak lihat perdebatan itu tak lama lagi,” katanya.

Sebelum ini, Anwar menyatakan kesediaan berdepan dan berdebat dengan Najib mengenai isu kewangan SEB yang merupakan syarikat perkhidmatan pelantar minyak bersepadu Malaysia. – Malaysiapost

Komen