Pemberian khas Sabah naik 4.7 kali ganda

Pemberian khas Sabah naik 4.7 kali ganda

AMAUN pemberian khas baharu untuk Sabah dinaikkan sebanyak 4.7 kali ganda iaitu daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selepas Kerajaan Persekutuan dan negeri mencapai kata sepakat mengenai kajian semula pemberian khas kepada Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Kata mereka, amaun itu akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023 hingga 2026 mengikut kadar kenaikan yang dipersetujui bersama.

“Persetujuan ini juga satu petanda penting memandangkan kali terakhir kajian semula berkenaan di buat adalah pada tahun 1969.

“Selain kenaikan pemberian khas, persetujuan kajian semula baharu ini merangkumi perkara-perkara berikut iaitu Kerajaan Persekutuan dan negeri akan terus berunding berhubung tuntutan 40 peratus daripada hasil negeri dan menjalankan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan suatu amaun pemberian khas baharu yang dapat mengimbangi keperluan Sabah tanpa menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.

“Justeru, sekiranya suatu amaun baharu yang dipersetujui kedua-dua pihak berjaya dicapai sebelum tahun 2026, maka amaun baharu tersebut akan diguna pakai untuk mengganti bayaran pemberian khas kepada Sabah bermula tahun 2022,” katanya.

Menurut kenyatan itu, persetujuan ini adalah tanpa prejudis terhadap kewajipan dan hak Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk meneruskan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan kerajaan Sabah berhubung kos perkhidmatan negeri.

“Kerajaan Sabah juga berhak untuk bergantung kepada formula asal seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

“Pelaksanaan kajian semula pemberian khas ini termasuk hak kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk merujuk perkara itu kepada penaksir bebas (jika tiada persetujuan dicapai) seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tambah mereka, kedua-dua kerajaan akan membekalkan data dan maklumat mengenai kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan kerajaan Sabah berhubung kos perkhidmatan Negeri yang akan diambil kira dalam proses kajian semula pemberian khas tersebut.

“Persetujuan yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan negeri melambangkan semangat Keluarga Malaysia, komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 kepada kerajaan Sabah serta keprihatinan kerajaan negeri terhadap peranan dan kemampuan Kerajaan Persekutuan untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada Sabah.

“Penghargaan kami kepada delegasi Kerajaan Persekutuan diketuai oleh Menteri Kewangan dan delegasi Sabah diterajui Menteri Kewangan II Sabah dalam pencapaian bersejarah ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen