PH perlu 2 kali PRU sebelum tawan semula Putrajaya – Nurul Izzah

PH perlu 2 kali PRU sebelum tawan semula Putrajaya – Nurul Izzah

PAKATAN Harapan (PH) kemungkinan memerlukan sekurang-kurangnya dua kitaran pilihan raya atau lima tahun untuk kembali menguasai Putrajaya.

Demikian kata Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang berpandangan pakatan itu diramal berdepan laluan sukar dan kehilangan banyak kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Susulan itu, bekas Naib Presiden PKR itu berkata PH perlu menjadi parti pembangkang bermaruah dengan menawarkan tawaran baharu lebih realistik berbanding PRU sebelum ini.

“Saya rasa tidak mudah untuk PH menang dalam PRU akan datang dan kita kena bersedia untuk kalah dua pusingan (PRU) untuk impak lebih positif serta kembali diterima rakyat.

“Kenapa saya mempunyai pandangan negatif mengenai keputusan PRU15?

“Saya amat realistik kerana pada saya kita akan mengambil masa untuk menawarkan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat dan saya sendiri masih trauma dengan keadaan yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Nurul Izzah berkata, punca beliau tidak yakin PH akan kembali berkuasa selepas PRU15 adalah kerana dasar dan kegagalannya menunaikan manifesto PRU14 selepas menjadi kerajaan.

Bagaimanapun anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, tempoh 22 bulan PH menjadi kerajaan terlalu singkat untuk dinilai berbanding Barisan Nasional (BN) yang berkuasa lebih enam dekad.

“PH banyak belajar daripada maklum balas rakyat. Jika mahu dibandingkan antara kegagalan PH menunaikan manifesto semasa menjadi kerajaan selama 22 bulan dengan BN selama lebih enam dekad memang jauh.

“Kalau dinilai jumlah manifesto berjaya dilaksanakan BN mungkin dapat markah F (gagal),” katanya.

Izzah turut meramalkan selain PH, parti lain khususnya Umno turut berdepan kemungkinan hilang banyak kerusi pada PRU15.

“Mungkin Umno dan BN berasa yakin boleh menang tetapi mereka kena ingat perkara itu belum pasti kerana pengundi atas pagar belum lagi ‘mengaum’ sekuat mungkin.

“Ini kerana pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor berlangsung sebelum kita memasuki fasa peralihan endemik lagi seperti sekarang,” katanya.

“Apabila semua sektor ekonomi sudah dibuka sepenuhnya sudah pasti pengundi akan keluar beramai-ramai, saya rasa semua ahli Parlimen patut berasa takut,” katanya. – Malaysiapost

Komen