Polis siasat anggotanya peras warga Singapura

Polis siasat anggotanya peras warga Singapura

POLIS mengesahkan mengenai kes pemerasan membabitkan anggota pasukan itu terhadap seorang individu seperti video yang tular di media sosial semalam memaparkan kejadian di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata pihaknya mengesan satu video pada jam 12.40 tengah hari semalam yang berdurasi 24 saat dan dimuat naik di Facebook Beh Chia Lor-Singapore Road.

Menurutnya, video berkenaan memaparkan dakwaan anggota kereta peronda polis (MPV) melakukan pemerasan ke atas seorang warga Singapura.

“Siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian berlaku berdekatan pusat beli belah Lalaport, Jalan Pudu pada 10 April lalu jam 12.30 tengah hari.

“Siasatan terperinci berkaitan perkara ini telah dimulakan sebaik sahaja video berkenaan tular di laman Facebook tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis sekiranya berlaku salah laku yang berkenaan.

Menurutnya, polis juga memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil menghubungi Asisten Superintendan Jaya Dalloh di talian 014-6396758 atau menghubungi balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

Komen