Satira ‘beruk’: Fahmi Reza dipanggil Bukit Aman

Satira ‘beruk’: Fahmi Reza dipanggil Bukit Aman

AKTIVIS dan pereka grafik kontroversi, Fahmi Reza dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman susulan tindakannya memuat naik satira menyerupai beruk memakai tengkolok malam tadi.

Perkara tersebut dimaklumkan aktivis itu menerusi laman Facebooknya, sebentar tadi.

“Aku dah terima panggilan telefon dari polis Bukit Aman. Tak sampai 15 jam polis dah buka kertas siasatan bawah Akta Hasutan dan #AktaSakitHati kerana grafik satira beruk yang aku post malam tadi.

“Polis minta datang balai untuk disoal siasat petang ini juga. Kita jumpa kejap lagi PDRM!,” katanya dalam hantaran itu.

Terdahulu, Fahmi menerusi Twitter miliknya berkongsi lukisan menunjukkan potret seekor beruk memakai tengkolok serta darjah kebesaran, seperti pakaian bangsawan atau sultan.

Dalam ciapan berasingan, Fahmi berkongsi satu poster tertera ayat berikut:

“Kalau kita boleh terima dan tak sekat karya satira yang memberukkan orang lain, kita juga harus terima dan tak sekat karya satira orang lain yang memberukkan kita.”

Kedua-dua ciapan itu tidak dinyatakan kepada siapa ia ditujukan, namun dipercayai ada kaitan dengan lukisan ‘Parlimen beruk’ yang tular baru-baru ini. – Malaysiapost

Kredit Foto: Kosmo

Komen