Tren Ekspres Khas Keluarga Malaysia ke pantai ti̇mur sempena Aidilfitri

Tren Ekspres Khas Keluarga Malaysia ke pantai ti̇mur sempena Aidilfitri

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan perkhidmatan tren khas buat Keluarga Malaysia ke pantai timur dikenali sebagai Ekspres Khas Keluarga Malaysia, bermula 29 April ini sempena Aidilfitri tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata secara lazimnya, setiap kali musim perayaan terutamanya Aidilfitri, kesesakan jalan raya bakal dihadapi warga pantai timur.

“Jadi pada tahun ini kita jangka pertambahan trafik yang drastik kerana sudah dua tahun tidak dapat pulang beraya.

“Oleh itu dengan adanya perkhidmatan ini, ia dapat mengurangkan kesesakan dan memberi jaminan keselesaan serta keselamatan kepada Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebanyak 516 tiket ditawarkan bagi perkhidmatan tren Ekspres Khas Keluarga Malaysia ini dan ia akan beroperasi bagi laluan pantai timur, bermula dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya.

Perkhidmatan ini merupakan inisiatif Kementerian Pengangkutan dan KTMB dengan membawa slogan ‘Maghi Kelik Kampung’, sebagai salah satu pengangkutan alternatif untuk mereka yang akan pulang berhari raya di kampung dengan selamat, selesa serta tambang yang berpatutan.

Tren ini akan berlepas pada 29 April, jam 11 malam dari Stesen KL Sentral dan akan berhenti di 17 stesen seperti Bandar Taşik Selatan, Kajang, Nilai, Seremban, Pulau Sebang, Mentakab, Jerantut, Gua Musang, Pasir Mas dan Tumpat.

Ia dijangka akan tiba di Stesen Tumpat pada 30 April, jam 3.55 petang.

Manakala perjalanan balik dari Stesen Tumpat adalah pada 7 Mei, jam 10.50 malam dan akan tiba di Stesen KL Sentral pada 8 Mei, jam 3.04 petang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata tren khas itu adalah perkhidmatan istimewa dari KTMB untuk Keluarga Malaysia yang ingin pulang dengan keselesaan dan menjimatkan masa.

”Tiket akan mula dijual pada 15 April dengan harga bermula daripada RM55 sehingga RM83 bagi perjalanan sehala.

“Cenderahati khas juga akan diberikan kepada para penumpang yang membuat perjalananan dengan tren khas ini,” katanya.

Tren khas ini bakal dilengkapi dengan koc katil, koc tempat duduk premier dan superior, koc buffet, dan koc chillax untuk aktiviti solat atau moreh beramai-ramai.

Selain itu, berikutan permintaan tinggi sempena musim perayaan ini, KTMB akan menyediakan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan dengan 4,368 tiket.

“la melibatkan perjalanan KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya bagi tarikh 29 April hingga 2 Mei dan 6 Mei hingga 8 Mei.

“Perkhidmatan tambahan ini adalah berikutan status jualan tiket yang telah habis dijual bagi tarikh-tarikh yang dinyatakan,” katanya.

Menurut KTMB, jualan tiket bagi tren tambahan ini akan mula dijual pada 15 April ini.

“Justeru pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB,” katanya. – Malaysiapost

Komen