Video tular kumpulan basikal lajak adalah kejadian lama

Video tular kumpulan basikal lajak adalah kejadian lama

VIDEO sekumpulan kanak-kanak yang menunggang basikal lajak di ibu negara dalam keadaan bahaya seperti yang ditularkan di media sosial hari ini adalah video lama.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata video berdurasi lapan saat yang dimuat naik di satu laman Facebook adalah kejadian sekitar tahun 2016.

“Hasil semakan mendapati kegiatan penunggang basikal lajak dalam video ditularkan itu telah berlaku sekitar 2016 di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

“Dipercayai video tersebut telah sengaja ditularkan kembali di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar dan video lama bagi mengelakkan kekeliruan dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

“Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. 

Isu mengenai basikal kembali hangat diperkatakan oleh warganet susulan keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru semalam.

Mahkamah berkenaan memerintahkan seorang kerani wanita dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu. РMalaysiapost 

Komen