Warga emas disahkan hidap kayap

Warga emas disahkan hidap kayap

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Perak mengesahkan menerima aduan mengenai seorang warga emas yang mengalami kesan sampingan selepas didakwa dipaksa mengambil suntikan vaksin Covid-19 di sebuah klinik kesihatan di Kuala Kangsar.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr Ding Lay Ming, berkata pihaknya menerima aduan berkaitan mesej tular di media sosial berhubung dakwaan berkenaan.

Menurutnya, selepas JKN Perak menjalankan siasatan dan mendapati pada 6 April lalu, warga emas terbabit hadir seorang diri ke Klinik Kesihatan Padang Rengas untuk rawatan susulan penyakit kronik (Dyslipidemia).

“Semasa sesi konsultasi di Bilik rawatan, Pegawai Perubatan mendapati beliau belum pernah menerima suntikan vaksin Covid-19 dan memandangkan beliau mempunyai masalah logistik serta sukar datang ke klinik semula untuk dos kedua, Pegawai Perubatan telah memberikan kaunseling mengenai suntikan dos tunggal vaksin CanSino.

“Beliau bersetuju untuk menerima suntikan tersebut serta telah menandatangani borang persetujuan vaksinasi Covid-19 dan disuntik pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pada 8 April lalu jam 3 petang, warga emas terbabit hadir semula ke Klinik Kesihatan Padang Rengas bersama seorang waris dan mengadu mengalami ruam di bahagian kiri atas dada.

“Warga emas terbabit kemudian dirujuk untuk rawatan lanjut di Klinik Pakar Dermatologi Hospital Taiping pada 11 April lalu dan menerima rawatan di klinik pakar berkenaan.

“Pakar Dermatologi telah menjalankan pemeriksaan dan mengambil sampel bagi ujian makmal Tzanck Smear dan keputusan adalah positif disahkan menghidap Penyakit Herpes Zoster atau kayap serta diberikan ubat antiviral dan ubat tahan sakit,” katanya.

Menurutnya, warga emas berkenaan telah diberikan tarikh temu janji susulan di klinik pakar pada 19 Mei ini dan keadaan pesakit kini adalah stabil serta dirawat sebagai pesakit luar. – Malaysiapost 

Komen