Ismail Sabri pemimpin berintegriti – PAS Selangor

Ismail Sabri pemimpin berintegriti – PAS Selangor

PAS Selangor menaruh keyakinan kemampuan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memimpin Malaysia pada masa hadapan.

Justeru, ia mengalu alukan cadangan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno untuk mengekalkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, Ismail Sabri telah membuktikan seorang pemimpin berintegriti dan diterima rakyat.

“Sesungguhnya Datuk Seri telah membuktikan kemampuan beliau sebagai seorang Perdana Menteri yang berjaya khususnya dalam menyatupadukan rakyat di bawah konsep Keluarga Malaysia.

“Beliau juga telah berupaya mengemudi negara keluar dari pandemik Covid 19 serta memulihkan kesannya ke atas kehidupan rakyat dan ekonomi negara,” katanya.

Dr Ahmad Yunus menambah, PAS Selangor mempunyai pengalaman berkolaborasi dengan Ismail Sabri sewaktu beliau dilantik Pengerusi Perhubungan Umno Selangor dahulu.

“PAS Selangor cukup rapat dan memiliki pengalaman bekerja yang baik dengan YAB Dato Seri khasnya ketika beliau mengetuai jentera Umno/Barisan Nasional Negeri Selangor selaku Pemangku Pengerusi/Badan Perhubungan UMNO Selangor dalam Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih sehingga berjaya mengalahkan calon Pakatan Harapan ketika itu.

“Semangatnya untuk menyatupadukan ummah dan membina kekuatan Muafakat Nasional Selangor ketika itu untuk menumbangkan kerajaan PH Selangor mencerminkan kegigihan dan jati diri beliau sebagai pemimpin berkaliber dan punya masa depan yang baik,” katanya.

Dr Ahmad Yunus berkata, PAS Selangor mendoakan agar cadangan itu kekal dan terlaksana selepas PRU15 dengan harapan kestabilan negara dapat dikecapi dan rakyat dapat hidup aman dan sejahtera dalam negara kita yang tercinta. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Dr Yunus Hairi

Komen