KDNKA gempur aktiviti penyeludupan, perlombongan bitcoin

KDNKA gempur aktiviti penyeludupan, perlombongan bitcoin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) terus menggempur  aktiviti penyeludupan kontraban, bunga api dan sindiket perlombongan bitcoin melalui beberapa Siri operasi khas bermula 5 April lalu  hingga hari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Hazani Ghazali, berkata Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK), Pasukan Khas Jabatan KDNKA, Bukit Aman telah melancarkan sebanyak 13 serbuan.

Menurutnya, pecahan serbuan berkenaan adalah tiga kes Op Kontraban (rokok), satu kes Op Kontraban (mercun) dan sembilan kes Op Letrik JKDNKA – Bitcoin dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM10,123,838.

“Dalam serbuan pertama pada 5 April lalu satu sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Kajang, Selangor berjaya ditumpaskan dengan penahanan seorang warga tempatan dan rampasan 1,079 karton rokok sebelum satu serbuan susulan juga di Kajang berjaya merampas 2,800 karton rokok.

“Pada 8 April serbuan dilakukan di Klang, Selangor yang turut berjaya menahan seorang suspek dan merampas 264 kotak mercun yang keseluruhan dianggarkan bernilai RM800,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata serbuan seterusnya pada 13 April lalu yang berjaya menahan dua suspek dan merampas 15,600 karton rokok pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM6.2 juta.

“CPSK dan PGK dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melancarkan operasi bersama di dalam membanteras kegiatan mencuri Elektrik bagi kegiatan perlombongan bitcoin dengan sembilan premis berjaya diserbu.

“Sejumlah 515 mesin Bitcoin dirampas yang dianggarkan bernilai RM1.58 juta dan turut ditahan sembilan lelaki terdiri daripada tujuh lelaki tempatan dab dua lelaki warga asing,” katanya.

Menurutnya, operasi khas bitcoin itu telah berjaya mengekang kerugian RM190,545 bil elektrik bulanan kepada TNB.

Beliau berkata, secara keseluruhan berdasarkan statistik keberhasilan bermula Januari sehingga hari ini, CPSK dan PGK Jabatan KDNKA telah berjaya melancarkan sebanyak 35 serbuan dan menahan seramai 51 orang dengan nilai rampasan keseluruhan adalah RM38,621,064. – Malaysiapost

Komen