Lebih 100 cedera, Zionis ceroboh Al-Aqsa

Lebih 100 cedera, Zionis ceroboh Al-Aqsa

LEBIH 100 rakyat Palestin dilaporkan cedera selepas bertempur dengan pihak berkuasa rejim Israel yang menceroboh masuk ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis sejak subuh hari ini.

Video serangan dan pencerobohan rejim zionis itu kini tersebar di media sosial yang turut memaparkan rakyat Palestin ditahan di dalam masjid dan di luar perkarangan Kompleks Al-Aqsa.

Lebih kejam pihak berkuasa Israel turut dikatakan tidak membenarkan ambulans Bulan Sabit Merah Palestin masuk ke kompleks berkenaan untuk mengambil mangsa yang cedera.

Media sebelum ini melaporkan penunjuk perasaan Palestin dan polis Israel bertempur sejak permulaan Ramadan di perkarangan masjid Al-Aqsa.

Difahamkan tunjuk perasaan itu susulan tindakan penduduk yahudi yang ingin meraikan perayaan mereka yang disambut selama seminggu dan dikatakan kali ini ingin menceroboh masuk ke dalam Al-Aqsa untuk menyembelih korban.

Rakyat Palestin yang marah bertindak berkumpul di Masjid Al-Aqsa bagi menghalang pencerobohan berkenaan.

Bagaimanapun difahamkan tentera Israel mula tembak, pukul dan menangkap rakyat Palestin yang berada di Masjid Al-Aqsa dengan kemuncaknya pada subuh hari ini. 

Tahun lalu semasa bulan Ramadan juga, umat Islam di Palestin bertempur dengan tentera Israel dalam konflik dahsyat selama 11 hari antara Israel dan penguasa Islam Semenanjung Gaza, Hamas. – Malaysiapost

Komen