Mangsa pertama mercun bola

Mangsa pertama mercun bola

REMAJA lelaki berusia 14 tahun menjadi mangsa pertama mercun bola tahun ini apabila tiga jarinya hancur selepas mercun berkenaan meletup sebelum sempat dibaling dalam kejadian di Kampung Lembah Beris Kubur Besar, Bachok, Kelantan, semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, mangsa turut luka di leher akibat percikan bahan api itu dan gegendang telinga pecah.

“Mangsa memberitahu dia bermain mercun bola di belakang rumahnya di Kampung Lembah Beris Kubur Besar, Tawang, Bachok.

“Mangsa tidak sempat membaling mercun tersebut dan meletup ketika berada di tangan kanannya,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Beris Kubur Besar oleh abangnya dan kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut.

“Hasil rawatan awal mendapati tahap kecederaan yang dialami mangsa adalah serius di bahagian tangan sebelah kanan akibat bahan letupan, luka leher dan pecah gegendang telinga.

“Mangsa menjalani pembedahan membuang ibu jari, jari terlunjuk dan jari tengah,” katanya.

Menurutnya, mangsa masih mendapatkan rawatan dan bawah pemerhatian doktor pakar namun keadaannya stabil.

“Polis menerima maklumat gambar kecederaan mangsa yang tular dan semakan mengesahkan Klinik Kesihatan Beris Kubor Besar, Tawang, Bachok menerima mangsa tersebut pada jam 4. 45 petang,” katanya. – Malaysiapost

Komen