PAS sambut baik keputusan Umno namakan Ismail Sabri calon PM PRU15

PAS sambut baik keputusan Umno namakan Ismail Sabri calon PM PRU15

PAS menyambut baik keputusan Umno mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata sebagaimana buat masa ini ia mendokong dan menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri, PAS berharap agenda perpaduan dipelopori Ismail Sabri dapat diteruskan.

Ini kerana kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu, ia terbukti telah berjaya mewujudkan kestabilan serta iklim politik yang baik dan harmoni di negara ini.

“Pendekatan ini pastinya akan terus disokong oleh semua pihak atas dasar bipartisan demi kebaikan negara.

“PAS juga yakin Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik kerajaan dan pembangkang yang berkuatkuasa dari tarikh ia ditandatangani dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen, akan terus membantu proses pemulihan negara di bawah pimpinan Ismail Sabri,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri  sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU15.

Katanya ketetapan itu dicapai dalam mesyuarat dipengerusikan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – Malaysiapost

Komen