Rakan Youtuber terkenal didakwa bunuh teman wanita

Rakan Youtuber terkenal didakwa bunuh teman wanita

SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Pulau Pinang, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang juga teman wanitanya, awal bulan ini.

Tertuduh, Abdul Jamal Ahmad, 23, mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Nur Diyanah Harris, 21.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di No 12A Lintang Kampung Masjid 3, Teluk Kumbar, di Balik Pulau, antara jam 9 pagi hingga 5 petang pada 3 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan, empat lelaki termasuk seorang Youtuber ditahan awal bulan ini bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang wanita yang juga kekasih seorang daripada mereka.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah dipercayai dipukul oleh teman lelakinya sebelum meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP). – Malaysiapost

Kredit Foto: Utusan

Komen