Rakyat mampu bangkit tolak rasuah dalam PRU-15 – Tun M

Rakyat mampu bangkit tolak rasuah dalam PRU-15 – Tun M

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan menjadi antara pemimpin dalam gabungan dengan parti-parti berbilang kaum bagi usaha memerangi rasuah.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata gejala rasuah terutama membabitkan ahli politik akan dapat dihapuskan melalui pilihan raya di mana rakyat beramai-ramai mengundi calon-calon anti-rasuah.

Menurutnya, keadaan itu akan berjaya menghasilkan kerajaan yang bersih daripada rasuah.

“Sudah sekian lama rakyat Malaysia meluahkan rasa meluat dengan ahli politik yang rasuah.

“Menentang rasuah dan bertindak menentang rasuah adalah dua perkara yang berbeza.  Ramai yang akan mengatakan bahawa tiada peluang untuk bertindak menentang rasuah. Tetapi sebenarnya ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) adalah peluang terbaik untuk bertindak secara berkesan terhadap amalan rasuah.

Menurutnya, dalam beberapa pilihan raya sebelum ini dilihat pengundi tetap setia kepada parti pilihan mereka hingga telah terlepas pandang beberapa penyelewengan oleh parti mereka.

“Tetapi kini rasuah, penyelewengan telah menjadi sangat serius. Parti berkenaan telah menjejaskan reputasi baik masa lalu. Malah nama baik yang dimenangi parti itu sudah rosak bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di dunia.

“Rasuahlah yang telah menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat iaitu secara demokratik sebelum ini,” katanya

Dr Mahathir berkata PRU-14 menunjukkan kesungguhan pengundi menggunakan hak mereka untuk menyokong calon pilihan mereka hingga menyaksikan kemenangan pembangkang ketika itu.

“Kali ini pengundi anti-rasuah pastinya lebih ramai kerana rasa jijik mereka terhadap kedua-dua kerajaan yang telah merampas kuasa melalui lompat parti – melalui cara yang tidak demokratik.

“Tetapi adakah parti yang menentang rasuah akan memenangi kerusi yang mencukupi, kemungkinan tidak dan terdapat keperluan untuk membentuk beberapa jenis gabungan dengan rakan kongsi yang tidak terlibat dengan rasuah.

“Ingat Umno dengan sendirinya tidak boleh membentuk Kerajaan. Walaupun Umno juga parti Melayu, ia menerima keperluan untuk bekerjasama dengan parti bukan Melayu,” katanya. – Malaysiapost

Komen