SPRM, apa status siasatan projek ‘Jiwa Murni’?

SPRM, apa status siasatan projek ‘Jiwa Murni’?

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya mendedahkan status siasatan berhubung tuntutan palsu projek ‘Jiwa Murni’ RM800 juta selepas penahanan dua Pengarah syarikat bagi menyiasat perkara itu pada September 2020.

Ia menjadi persoalan sehingga kini mengenai status siasatan, biar pun sudah berlanjutan hampir dua tahun namun hasil siasatan kes itu masih menjadi tanda tanya.

Sehingga hari ini SPRM tidak memaklumkan apa-apa hasil siasatan kes tersebut kepada umum.

SPRM sepatutnya memberitahu umum tentang perkembangan, apa kesudahan kes ini, apakah ada individu yang ditahan ataupun ada pendakwaan telah dilakukan.

Kes ini bukan melibatkan penyelewengan yang kecil tetapi RM800 juta. Satu jumlah yang cukup besar membabitkan wang rakyat.

Pada 30 Jan 2019, Menteri Pertahanan ketika itu, Mohamad Sabu memaklumkan kementerian tersebut tidak pernah menutup siasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam projek Jiwa Murni di Sarawak.

Susulan itu pada 8 September 2020 melalui satu operasi khas, SPRM menahan dua pengarah sebuah syarikat berusia 42 dan 44 tahun.

Mereka ditangkap bagi membantu siasatan dakwaan melakukan tuntutan palsu berjumlah RM800 juta berkaitan satu projek menaiktaraf jalan di pedalaman negeri tersebut.

Bagaimanapun mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM berjumlah RM100,000 seorang dengan seorang penjamin.

Pada 19 September 2020, dua individu termasuk seorang bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergelar Datuk ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan kes yang sama.

Sewajarnya SPRM menjelaskan kedudukan sebenar kes tersebut kerana ia boleh memberi persepsi yang tidak baik kepada kerajaan dalam memerangi gejala rasuah.

Penting untuk diperjelaskan ketika indeks persepsi rasuah negara berada pada tahap yang cukup tidak memuaskan.

SPRM diharap akan memaklumkan status siasatan kes tersebut dan adakah mereka yang terlibat akan didakwa atau siasatan menunjukkan mereka tidak bersalah.

Langkah ini juga demi keadilan kepada mereka yang ditahan.


Azman Hassan
Aktivis anti rasuah
(Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

Komen