Terima kasih sokong saya sebagai calon PM selepas PRU15 – Ismail Sabri

Terima kasih sokong saya sebagai calon PM selepas PRU15 – Ismail Sabri

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kerana dicalonkan sebagai Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau berkata, keputusan tersebut menangkis kenyataan pihak luar yang menggambarkan Umno sudah berpecah belah dan wujud kumpulan tertentu dalam parti itu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden, Timbalan Presiden, Top 5, dan semua ahli MT kerana sebulat suara menyokong saya sebagai calon perdana menteri selepas pilihan raya jika BN memenangi.

“Ini menunjukkan Umno terus bersatu. Walaupun macam-macam pihak ada menyatakan ada kumpulan dalam Umno tetapi keputusan semalam jelas menunjukkan bahawa apa yang diperkatakan masyarakat adalah tidak benar.

“Kerana Umno terus kukuh, solidaritinya kuat, jadi tidak ada kem pun di dalam Umno,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan memaklumkan mesyuarat Majlis MKT Umno sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU-15.

Katanya ketetapan itu dicapai dalam mesyuarat dipengerusikan Presiden Umno semalam.

Komen