Budak autisme 5 tahun dilaporkan hilang di hutan

Budak autisme 5 tahun dilaporkan hilang di hutan

SEORANG kanak-kanak autisme berusia lima tahun dilaporkan hilang di hutan Kampung Malawa, Jalan Sepanggar di Kota Kinabalu, Sabah, petang semalam.

Mangsa Jayden Gabriel Peter dilaporkan hilang di hutan berkenaan kira-kira jam 3 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 6.03 petang.

Katanya, seramai tujuh anggota bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikerah ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Mangsa adalah kanak-kanak autisme dan menurut saksi kali terakhir mangsa dalam keadaan tidak berbaju dan seluar.

“Operasi pencarian sedang dijalankan bersama pasukan polis dan orang kampung di kawasan belakang rumah mangsa dan sepanjang sungai berhampiran.

“Setakat ini, kanak-kanak terbabit belum ditemui dan pos kawalan diwujudkan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha memberi maklumat kes berkenaan dari semasa ke semasa. – Malaysiapost

Komen