Calon PM: ‘Presiden PAS jangan jadi tukang sibuk, jaga tepi kain Umno’

Calon PM: ‘Presiden PAS jangan jadi tukang sibuk, jaga tepi kain Umno’

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dinasihatkan supaya jangan menjadi ‘tukang sibuk’ dalam urusan Umno berhubung keputusan parti itu mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub, berkata Abdul Hadi tidak perlu menjaga tepi kain Umno kerana perkara itu adalah urusan parti tersebut yang tidak ada kena mengena dengan PAS.

“Keputusan MT mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dalam PRU15 itu adalah hak Umno.

“(Abdul) Hadi tak payah nak jaga tepi kain Umno. Lebih baik dia menjaga dalam kain PAS. PAS bukan sepupu sepapat Umno,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya lagi, sekiranya PAS merasakan Perikatan Nasional (PN) boleh menang pada PRU15, maka parti itu juga boleh menamakan sesiapa saja sebagai calon Perdana Menteri kerana Umno tidak berminat untuk mengambil tahu.

Katanya, Abdul Hadi juga tidak perlu mengingatkan Umno tentang apa yang berlaku dengan pelantikan Menteri Besar Johor, baru-baru ini.

“Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor tidak sama dengan Perlembagaan Persekutuan. Kuasa perlantikan Menteri Besar Johor didalam bidang kuasa Tuanku Sultan.

“Ia tidak sama dengan perlantikan PM yang dibuat oleh Agong berdasarkan calun dari parti yang mendapat sokongan dan menang dalam PRU,” katanya.

Sehubungan itu, Veteran Umno menyarankan Abdul Hadi menutup mulut dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang bodoh dan dangkal menyentuh apa saja yang diputuskan Umno.

“‘Mind your own business’. Bak kata orang cerdik pandai ‘lebih baik berdiam diri dan biarkan orang berfikir kita bodoh daripada membuka mulut yang mengesahkan kebodohan kita’,” katanya.

Semalam media melaporkan, Abdul Hadi sebagai berkata, Umno kemungkinan bertindak terburu-buru apabila menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri dalam menghadapi PRU15.

Dalam masa sama, Abdul Hadi turut mengingatkan Umno apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini yang merujuk kepada pelantikan Menteri Besar negeri itu. – Malaysiapost

Komen