Gerai mee tonggek diarah tutup

Gerai mee tonggek diarah tutup

BAHAGIAN Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengeluarkan notis penutupan terhadap peniaga mee tonggek yang tular kerana terdapat ulat dalam makanan dijual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya memandang serius aduan yang tular di media sosial mengenai pencemaran makanan itu di Bazar Ramadan, baru-baru ini.

“Justeru, BKKM telah menjalankan siasatan dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap gerai yang menjual mee tonggek berkenaan dengan mengarahkan penutupan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana didapati tidak bersih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan pemilik gerai untuk mengambil langkah mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sebelum dibenarkan beroperasi semula.

Selain itu, katanya, kompaun turut dikeluarkan terhadap seorang pekerja yang didapati tidak mengambil suntikan anti-tifiod.

“Tiga sampel turut diambil di gerai terlibat bagi tujuan analisis mikroorganisma dan bendasing,” katanya.

Beliau berkata, siasatan KKM juga mendapati peniaga tersebut mempunyai sebuah premis makanan yang beroperasi di Cyberjaya di mana bahan mentah dimasak dan disimpan sebelum dipasarkan di bazar tersebut.

“KKM akan menjalankan pemeriksaan dan siasatan di premis berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pengendalian keselamatan makanan di premis tersebut,” katanya.

Sementara itu, mengenai aduan pencemaran kuih limas Dr Noor Hisham, berkata, KKM sudah membuka kertas siasatan ke atas pengeluar kuih limas terlibat bagi tujuan pendakwaan mengikut Akta Makanan 1983.

Beliau turut memaklumkan, sehingga kini, melalui Operasi Ramadan 2022 yang telah dijalankan di seluruh negara, sebanyak 4,362 premis Bazar Ramadan telah diperiksa.

“Sebanyak 77 notis kompaun dengan nilai RM38,500 dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Selain itu, sebanyak 178 sampel makanan juga telah diambil untuk dianalisis,” katanya.

Beliau berkata, peniaga makanan yang tidak mematuhi kehendak di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai agar membeli makanan di premis makanan yang bersih. KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq,” katanya. – Malaysiapost

Komen