Ika Nabella tampil pertahankan Siti Bainun….. 

Ika Nabella tampil pertahankan Siti Bainun….. 

PELAKON Ika Nabella tampil mempertahankan kecaman yang diterima pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahmad Razali. 

Bagaimanapun pelakon itu hanya mempertahankan Siti Bainun berkaitan saiz fizikalnya sahaja, bukan perbuatan yang dilakukannya mendera remaja sindrom down Bella yang berusia 13 tahun itu. 

Menurut Ika, tindakan segelintir netizen menulis komen menghina dan mengutuk saiz badan Siti Bainun hendaklah dihentikan kerana ianya tiada kaitan dengan perbuatan yang dia lakukan. 

Memberi teguran secara umum, Ika atau nama sebenarnya Ika Nabila Abdul Rahim berkata penampilan seseorang itu tidak mempunyai kaitan dengan perbuatan yang dilakukan. 

Katanya, komen melibatkan bentuk badan itu juga boleh membuatkan orang lain yang bersaiz besar juga akan tersinggung membaca hinaan tersebut.

“Guys, bila anda terlalu marah dekat Bainun, tolong jangan point out penampilan dia. Ia menunjukkan betapa rendahnya mentaliti anda. Jangan tersinggung tau, saya tegur secara umum ini.

“Sebab yang jahat itu dia, bukan saiz badan dia dan bayangkan orang lain bersaiz seperti Bainun baca apa mereka rasa? Tak boleh fikir sesuatu yang baikkan?

“Mereka akan rasa teruk dalam keadaan saiz itu padahal tak minta pun hidup saiz begitu,” katanya di Instagram, hari ini. 

Rata-rata netizen yang membaca hamtaran itu bersetuju dengan apa yang diluah Ika. 

Ketika ini media sosial menjadi perbincangan hangat netizen mengenai kes perbicaraan Siti Bainun yang dituduh mengabai dan menganiaya Bella. 

Ramai meluahkan kemarahan dengan perbuatan tidak berhati perut Siti Bainun terhadap Bella sehingga ada segelintir daripada mereka mengutuk fizikal pengasas Rumah Bonda tersebut.

Dalam pada itu, Ika turut berpendapat isu ‘body shaming’ juga boleh mendorong seseorang itu bertindak melakukan perkara tidak baik dan di luar batasan seperti membuli.

“Pernah tak anda fikir penyebab body shaming kepada individu tertentu? Mungkin apa yang terjadi kepada Bella salah satu daripadanya.

“Orang yang tak kuat imannya akan cari seseorang yang lebih lemah (dalam fikirannya) untuk lepaskan kemarahan. Ia nampak jelaskan. Saya kenal seseorang, kat sekolah baik sebab saya seorang kawan dia.

“Orang lain layan dia sangat teruk tapi bila pergi rumah dia, saya terkejut sebab dia sangat berbeza terutama kepada pembantu rumahnya. Kami berusia 11 tahun ketika itu.

“Sesetengah orang akan rasa tertekan bila orang body shaming dan mereka sudah tentu akan cari orang yang tak ada kuasa, atau lemah di mata mereka untuk rasa selamat,” katanya. -Malaysiapost

Komen