Jangan cuba gagalkan RUU Anti Lompat Parti – Asyraf Wajdi

Jangan cuba gagalkan RUU Anti Lompat Parti – Asyraf Wajdi

RANG Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti perlu disegerakan kerana ketidakstabilan dalam politik negara ini berpunca daripada perbuatan lompat parti di kalangan wakil rakyat.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perbuatan itu perlu dibendung kerana ia tidak sihat dalam amalan demokrasi negara.

Katanya, ini adalah masa terbaik untuk kerajaan melaksanakan akta berkenaan susulan kerajaan yang digulingkan sebelum ini turut berpunca daripada tindakan melompat parti.

“Ketidakstabilan dalam negara bermula daripada aktiviti lompat-melompat wakil rakyatnya. Mandat rakyat tidak boleh dicabuli atau dipermainkan sewenang-wenangnya.

“Hari ini kita tahu ada individu yang menolak RUU terbabit kerana mereka mempunyai sejarah melakukan perkara sedemikian,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau ditemui selepas menunaikan solat berjemaah bersama anak kariah di Masjid al-Aqla, di sini sempena program jelajah Ihya Ramadan Pemuda UMNO Malaysia ke zon utara.

Asyraf Wajdi berkata, jangan ada lagi pihak cuba memperkotak-katikkan usaha mewujudkan RUU berkenaan termasuk merubah maksud sebenar lompat parti dengan mencadangkan agar diwujudkan RUU baharu.

“Pemuda Umno sejak awal memang meminta agar jangan kita berdolak dalih lagi untuk pastikan RUU Anti Lompat Parti dapat dilaksanakan dengan semangat dan maksud lompat parti yang sebenar.

“Ada cadangan pihak tertentu untuk adakan RUU kestabilan politik atau sebagainya. Saya rasa yang paling penting kita kembali kepada fokus utama, iaitu lompat parti,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, Pemuda Umno telah membuat ketetapan tersebut dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU 2021) agar ia disegerakan bagi memastikan hak rakyat dijamin dan dihormati.

“Apabila Barisan Nasional (BN) dan Umno hilang mandat rakyat pada Mei 2018, kita antara yang menjadi mangsa dalam perbuatan lompat parti oleh wakil rakyat. Kita tak mahu perkara sama berulang kerana boleh merosakkan kestabilan dan keharmonian negara.

“Cukuplah rakyat menderita selepas menjadi mangsa keadaan akibat keserabutan politik yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan, kerajaan menyasarkan untuk membentangkan RUU Anti Lompat Parti dalam sidang Dewan Rakyat Julai ini. – Malaysiapost

Komen