Perak beri Bantuan Khas Aidilfitri RM1,000 kepada penjawat awam

Perak beri Bantuan Khas Aidilfitri RM1,000 kepada penjawat awam

KERAJAAN Perak bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada 7,907 penjawat awam di negeri itu.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata peruntukan berjumlah RM7.9 juta itu membabitkan semua gred perjawatan termasuk kakitangan di bawah skim ‘Contract Of Service’ dan ‘Contract For Service’.

“Selain itu, turut menerima bantuan khas tersebut adalah Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), guru i’dadi, guru thanawi, guru tadika Islam, orang besar jajahan, pegawai sambilan harian dan Tok Batin.

“Buat julung kalinya, bantuan khas Aidilfitri akan turut disalurkan kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan kadar RM500 seorang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penyaluran bantuan khas tersebut akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bagi bulan April iaitu pada 25 April ini.

“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam memikul tanggungjawab dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen