Basikal lajak: Kerajaan tak campur tangan keputusan mahkamah – Ka Siong

Basikal lajak: Kerajaan tak campur tangan keputusan mahkamah – Ka Siong

KERAJAAN menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas pemandu wanita terbabit nahas basikal di Johor Bahru, selepas disabitkan kesalahan baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata kerajaan berpendirian tidak akan campur tangan dengan keputusan dijatuhkan terhadap pemandu berkenaan, sebaliknya melihat keputusan itu dilakukan berdasarkan impak kemalangan berkenaan.

Katanya, masyarakat perlu memahami Malaysia mempunyai tiga cabang kuasa iaitu penggubalan undang-undang di Parlimen, kuasa eksekutif di pihak kerajaan dan yang terakhir ialah sistem kehakiman.

“Pertama, saya menghormati sistem kehakiman. Biar sistem kehakiman berjalan. Jadi tak elok eksekutif mengajar bagaimana badan kehakiman itu berjalan. Tidak. Jadi saya rasa kita kena melihat daripada konteks ini.

“Kedua, kita harus merancakkan lagi kesedaran dalam kalangan ibu bapa,” katanya.

Beliau juga berkata, ketiadaan perintah kawalan pergerakan menyebabkan kumpulan ‘mat rempit’ atau basikal lajak misalnya menganggap mereka sudah bebas dan mungkin aktiviti itu akan mula berleluasa, justeru peranan ibu bapa penting untuk memberikan kesedaran.

Ka Siong berkata, selain itu, peranan pihak berkuasa seperti polis dalam menguatkuasakan undang-undang terutama Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dipinda pada 2020 dengan hukuman lebih berat kepada pesalah diharap dapat membantu mengekang kejadian tidak diingini.

“Dengan rasa simpati kepada semua pihak terlibat, kita perlu ambil iktibar apa yang berlaku dan sedar risiko dihadapi pengguna jalan raya, jadi kita kena ambil inisiatif dan merancakkan kempen keselamatan jalan raya serta meningkatkan penguatkuasaan.

“Perkara ini sebenarnya tanggungjawab kita bersama, kementerian, penguat kuasa, ibu bapa dan juga masyarakat kerana apabila tragedi seperti ini berlaku, pada akhirnya ia tidak menguntungkan mana-mana pihak,” katanya.

Pada 13 April lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara enam tahun berserta denda RM6,000 kepada Sam Ke Ting, 27.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah berkenaan mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober lalu yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan Ke Ting daripada kesalahan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 2017.

Ke Ting turut diperintah menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai hukuman penjara. – Malaysiapost

Komen