‘Jangan kerana kedudukan, kaitan politik, tertuduh kes Bella terlepas hukuman’

‘Jangan kerana kedudukan, kaitan politik, tertuduh kes Bella terlepas hukuman’

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mahu pihak yang terlibat dengan kes penderaan remaja orang kurang upaya (OKU) sindrom down, Bella, menerima hukuman sewajarnya.

Tegasnya, pihak yang terlibat dalam perlakuan kejam itu tidak boleh terkecuali daripada menerima hukuman hanya disebabkan kakitan politik, ‘kedudukan’ mereka, selain mampu menggunakan pasukan peguam yang ramai.

“Kita yakin pesalah tidak akan terlepas dari hukuman mahkamah yang setimpal. Apatah lagi di mahkamah akhirat.

“Kes yang memangsakan kanak-kanak, apatah lagi anak-anak istimewa kelainan upaya, wajib dipandang serius, diberi perhatian oleh masyarakat dan dipastikan ada pembelaan undang-undang dengan segera,” katanya menerusi Facebook.

Wan Saiful berkata, pada masa yang sama, kerajaan mesti segera mencari mekanisme untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang termasuk menguatkuasa peraturan tertentu.

“Paling penting, kebenaran menjalankan rumah kebajikan dan perlindungan dan kebajikan mestilah diberi hanya kepada mereka yang benar-benar mempunyai komitmen untuk menjamin nasib anak-anak dalam jagaan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, rakyat Malaysia amat berdukacita dan terkesan dengan kes penderaan Bella, apatah lagi ia berlaku di rumah yang sepatutnya memberi pelindungan kepada remaja tersebut.

“Sebagai seorang yang pernah menubuhkan dan menjalankan pusat autisme untuk anak istimewa, sudah pasti saya amat terkesan apabila membaca laporan-laporan yang berkaitan kes ini.

“Semasa saya memulakan dan seterusnya mengetuai operasi rumah kebajikan anak-anak autisme tersebut, keselamatan dan kebajikan anak-anak di bawah jagaan kami merupakan perkara paling penting,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mesti tegas dalam memberikan perlindungan kepada golongan itu dan tidak berkompromi dalam soal hak mereka.

“Pembelaan mesti diberikan kepada anak ini, tanpa mengira kedudukan, status, atau kaitan politik mereka yang dituduh,” katanya. – Malaysiapost

Komen