Kes Bella: KPWKM sedia bekerjasama dengan peguam TMJ – Rina Harun

Kes Bella: KPWKM sedia bekerjasama dengan peguam TMJ – Rina Harun

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia bekerjasama dengan peguam Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi membantu prosiding kes penderaan membabitkan remaja kurang upaya (OKU), Bella.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata beliau juga sedia menghadap Tunku Ismail dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam untuk mempersembahkan status perbicaraan kes Bella.

“Kementerian menyambut baik pelawaan ini dan akan bekerjasama rapat dengan pihak peguam yang dititahkan Tuanku. Menjunjung kasih Tuanku,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Rina berkata, usaha Tunku Ismail menawarkan khidmat peguam secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi kes itu amat bermakna buat kementeriannya memperkasakan usaha menegakkan keadilan buat Bella.

Beliau berkata, pihaknya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tunku Ismail dan isteri atas keprihatinan terhadap kes penderaan Bella, serta menggerakkan usaha pembelaan menuntut keadilan buat remaja tersebut.

BACA LAGI: Kes Bella: TMJ tawar khidmat peguam percuma

“Sesungguhnya patik amat terharu dengan keprihatinan yang dizahirkan oleh Tuanku dan Che Puan Besar yang sama-sama mengikuti perkembangan kes perbicaraan ini.

“Buat seluruh Keluarga Malaysia, dalam bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita terus memanjatkan doa semoga urusan perbicaraan kes penderaan Bella dipermudahkan dan kebenaran dan keadilan dapat dibuktikan di akhir perbicaraan kelak,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Tunku Ismail menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi kes penderaan Bella.

Tunku Ismail menegaskan, akan menghubungi Rina berhubung tawaran itu. – Malaysiapost

Facebook Rina Mohd Harun

Komen