Kes Bella: TMJ tawar khidmat peguam percuma
TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan khidmat peguam secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi kes penderaan remaja orang kurang upaya (OKU) sindrom down, Bella.
Tunku Ismail menerusi Facebooknya, memaklumkan beliau akan menghubungi Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berhubung tawaran berkenaan.
“Saya telah berhubung dan berbincang dengan peguam-peguam saya mengenai kes penderaan Bella.
“Kes ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan kerajaan sudah memulakan perbicaraan terhadap OKT (orang kena tuduh) dalam kes ini,” katanya.
Tunku Ismail berkata, kes pendakwaan pada ketika ini melibatkan dua pihak.
“Iaitu pendakwa raya kerajaan bagi pihak kerajaan/awam, dan peguambela yang dilantik untuk mewakili tertuduh (OKT),” katanya.
Terdahulu nasib malang menimpa Bella, 13, turut mendapat perhatian isteri Tunku Ismail, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.
Khaleeda menerusi perkongsian dalam akaun Twitter menyatakan, akan berusaha bagi menuntut keadilan bagi Bella. – Malaysiapost