Michael Ang minta netizen ‘stop’ kutuk 10 peguam Siti Bainun

Michael Ang minta netizen ‘stop’ kutuk 10 peguam Siti Bainun

PENGARAH dan penerbit sensasi Micheal Ang menasihati netizen untuk berhenti mengecam dan mengutuk 10 peguam yang mewakili pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Micheal menerusi Instagram miliknya berkata, kecaman dan kutukan yang ditujukan kepada barisan peguam itu hanyalah sia-sia, sebaliknya menyebabkan kemungkinan mereka disaman.

Menurutnya, tindakan itu bukan untuk mempertahankan Siti Bainun, namun ia nasihat berdasarkan keprihatinan terhadap netizen.

“Salam semua. Tak payah kau orang pergi kutuk lawyer makcik dera tu. Dia dah la lawyer, sia-sia aje nanti kau orang kena saman.

“Nasihat saja nak dengar, dengar la ya. Aku bukan ‘back up’ dia orang tapi aku risau kat kau orang. Dia orang tu kaya dan ada firm sendiri. Nanti sia-sia kau orang kena bayar saman. Tapi nampak sangat la ‘people will do anything to be famous in a bad way’!,” katanya.

BACA LAGI: Basikal lajak: Michael Ang mengamuk, dituduh rasis pertahan pemandu wanita

Dalam perkembangan sama, Micheal berkata, penganiayaan dan pengabaian yang dilakukan terhadap remaja sindrom down, Bella itu memang tidak boleh diterima.

Tetapi, katanya, orang ramai tidak perlu mengeluarkan kutukan terhadap peguam yang membela Siti Bainun, kerana itu memang tugasan yang harus mereka buat apabila dibayar.

“Honestly yang kau orang pergi kutuk lawyer mak cik dera tu buat apa? Tanya macam mana dia ada 10 lawyer tu ok la. Pergi kutuk lawyer tu buat apa.

“Pembunuh pun ada hak untuk ada lawyer. And lawyer ada kala kena defend anak guaman dia sebaik mungkin sebab dia orang kena percaya dan defend anak guaman mereka walaupun anak guaman tu di mata orang luar bersalah tapi anak guaman cakap dia tak bersalah kat lawyer.

“Faham tak? Kita cuba sedaya upaya ‘translate to Malay’ nanti cakap orang putih tak faham dan salah erti pulak! Jgn pulak lepas post ni cakap aku back makcik dera!,” katanya.

Terdahulu, seorang peguam mewakili Siti Bainun iaitu Hafidzah Hassan menarik perhatian netizen dengan berkongsi ‘cross examination’ (transkrip soal balas) ke atas saksi pendakwaan kelima menerusi satu ciapan di laman Twitter, baru-baru ini.

Bagaimanapun, orang ramai lebih tertumpu kepada sekeping foto dimuat naik Hafidzah yang memaparkan Siti Bainun bergambar bersama barisan peguamnya.

Meninjau ke ruangan komen, ciapan diulang kicau lebih 8,000 kali itu dihujani hampir semua komen negatif netizen yang seolah-olah tidak berpuas hati melihat barisan peguam tersebut ‘membela’ kes Siti Bainun.

Malah, netizen berpendapat bahawa wajah masing-masing dilihat gembira sekali gus mengenang kesakitan dan penderitaan dialami Bella akibat didera. – Malaysiapost

Kunjungi bahagian Seni & Hiburan untuk baca cerita yang terkini dan menarik

Komen