Tun M bimbang masuk ‘Kluster Mahkamah’ selepas hilang kuasa – Zahid

Tun M bimbang masuk ‘Kluster Mahkamah’ selepas hilang kuasa – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad bimbang termasuk dalam ‘Kluster Mahkamah’ sejurus hilang kuasa sebagai Perdana Menteri.

Ahmad Zahid berkata demikian merujuk kes saman yang difailkan Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap Dr Mahathir berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara, yang diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi, baru-baru ini.

Beliau berkata, keadaan itu sekali gus membuktikan semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ketika zaman Pakatan Harapan (PH), Ahli Parlimen Langkawi itu bebas melakukan apa sahaja mengikut kemahuannya.

“Baru-baru ini dilaporkan kerajaan bersetuju untuk menyelesaikan guaman ini tanpa sebarang pengakuan liabiliti (kes saman Mohamed Apandi terhadap Dr Mahathir). Namun, terma-terma penyelesaian tidak didedahkan kepada media.

“Apakah iktibar daripada kes tersebut? Ternyata ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri era PH beliau bebas membuat apa-apa sahaja semahu beliau.

“Apabila hilang kuasa sebagai Perdana Menteri dan PH jatuh, beliau mulai bimbang berhadapan saman bekas Peguam Negara di mahkamah,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, Dr Mahathir bimbang dirinya menjadi kluster mahkamah, sedangkan ramai termasuk ahli politik dikenakan pendakwaan terpilih ketika beliau menjadi Perdana Menteri PH.

“Yang peliknya, yang melompat parti ke Bersatu tidak pula jadi kluster mahkamah, malah dilantik jadi Menteri,” katanya.

Pada 13 April lalu, media melaporkan Kes saman yang difailkan Mohamed Apandi terhadap Dr Mahathir dan Kerajaan Malaysia berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara, diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, yang mewakili Mohamed Apandi selaku plaintif, dalam saman itu, bagaimanapun berkata terma-terma penyelesaian tidak boleh didedahkan.

Pada 13 Oktober 2020, Mohamed Apandi memfailkan saman menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu sebagai tidak sah. – Malaysiapost

Komen