17 individu ditahan termasuk 13 pemandu mabuk

17 individu ditahan termasuk 13 pemandu mabuk

SERAMAI 17 individu ditahan dalam operasi hujung minggu yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bermula jam 10 malam Jumaat lalu hingga jam 4 pagi semalam di sekitar ibu negara.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal/Pelbagai Kesalahan itu dijalankan di sekitar pusat bandar, Jalan Kuching, Jalan Raja Laut, Lebuhraya AKLEH dan DUKE.

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 253 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 12 motosikal disita atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan iaitu ekzos, manakala empat kereta disita kerana mengubah suai kenderaan.

“Semua kenderaan disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan akan diambil tindakan serta pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta diarahkan mengubah ke struktur asal,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, daripada keseluruhan 17 tangkapan yang dibuat, 13 daripadanya membabitkan lelaki tempatan berusia lingkungan 21 hingga 44 tahun yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45(A) APJ 1987 kerana memandu dibawah pengaruh alkohol.

“Kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh dibawah Seksyen yang sama.

“Tiga lagi tangkapan adalah membabitkan lelaki tempatan yang menunggang dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi ‘zig-zag’, ‘roket’, ‘superman’ serta bersaing.

“Kesemua tangkapan berusia 16 hingga 26 tahun akan didakwa mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya sehingga menggangu pengguna jalan raya lain,” katanya.

Menurutnya, satu lagi tangkapan adalah membabitkan lelaki berusia 24 tahun yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan akan dituduh mengikut Seksyen 108(3)(e) APJ 1987 kerana memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

“JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan dan kesalahan lalu lintas serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya. – Malaysiapost

Komen